fb fb fb fb fb

PRK DUN Ayer Kuning: Calon BN tekankan kesejahteraan ekonomi peniaga

Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir / Foto RTM

TAPAH, 13 April – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir, berikrar untuk meneruskan segala perancangan yang telah digariskan oleh kerajaan negeri demi manfaat rakyat di kawasan tersebut.

Menurut beliau, antara keutamaannya ialah memastikan golongan peniaga mendapat manfaat sewajarnya serta mampu menjana keuntungan berterusan daripada perniagaan yang dijalankan.

“Peniaga perlu menikmati hasil yang baik agar mereka dapat meneruskan kehidupan dan menyara keluarga masing-masing.

“Kita akan meneruskan apa yang telah dirancang oleh kerajaan, termasuk usaha untuk menjadikan para peniaga lebih bersemangat serta memastikan perniagaan mereka mampu memberikan pulangan yang menguntungkan,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah beliau, penyediaan prasarana yang lengkap juga menjadi keutamaan sebagai sokongan penting terhadap pembangunan dan pertumbuhan sektor perniagaan di kawasan Ayer Kuning.

Terdahulu, Dr Mohamad Yusri meluangkan masa menyantuni para peniaga dan beramah mesra dengan penduduk tempatan di Pasar Tani Tapah.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Allahyarham Ishsam Shahrudin, pada 22 Februari lalu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD