fb fb fb fb fb

PRK DUN Ayer Kuning: Tiada kompromi jika sentuh isu 3R – Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil / Foto RTM

TAPAH 13 April-Pemantauan secara dalam talian terhadap bahan kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri, Ayer Kuning giat dilaksana.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata tindakan tegas menanti terhadap mana-mana pihak yang didapati memuatnaik kandungan menyentuh sensitiviti 3R (kaum, agama, institusi raja).

"Sekiranya terdapat individu yang memuat naik hantaran bersifat melampau atau mengandungi kandungan 3R, mereka yang disabitkan kesalahan di mahkamah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000, atau penjara.

"Saya berharap semua pihak dapat menjalankan kempen dengan cara yang bertanggungjawab", katanya demikian pada sidang media selepas menyertai Program Hari Bersama Komuniti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning, di sini.

Tambahnya, setakat ini tiada aduan berkaitan isu berkenaan diterima.

Beliau bagaimanapun, menjangka kempen akan semakin rancak dalam seminggu akan datang.

Sementara itu, Fahmi turut gesa syarikat telekomunikasi yang menerima aduan capaian internet lemah dapat memberi maklum balas segera selewatnya pukul 5.00 petang ini. 

Tegasnya, tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat-syarikat terlibat akan diambil sekiranya gagal berbuat demikian.

"Semua Telco yang telah menerima maklumat mengenai capaian internet yang lemah di Air Kuning sebagai contoh, perlu memberi maklum balas pukul 5.00 petang hari ini.

"Sekiranya tidak, kita akan pertimbang tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat-syarikat Telco di atas kegagalan.

"Jadi dengan kuasa yang ada sekarang, syarikat Telco perlu berwaspada dan mereka perlu lebih cergas", katanya di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD