fb fb fb fb fb

PRK Ayer Kuning: 2 permit ceramah dilulus, polis nasihat parti kemuka permohonan awal

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Zaharudin Rasip

TAPAH, 13 April- Polis Perak telah meluluskan dua permit ceramah kepada Barisan Nasional (BN) bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, yang bermula sejurus selepas penamaan calon semalam.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Zaharudin Rasip berkata, setakat ini tiada permohonan permit diterima daripada Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Beliau menasihatkan parti-parti yang bertanding supaya mengemukakan permohonan permit lebih awal bagi memudahkan urusan kelulusan serta pelaksanaan ceramah.

“Berkempenlah secara berhemah dan profesional, tanpa melakukan sebarang provokasi khususnya melibatkan isu-isu 3R yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam,” tegasnya ketika sidang media harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah hari ini.

SAC Zaharudin turut memaklumkan bahawa setakat ini, tiada laporan polis atau aduan diterima berkaitan sebarang kesalahan pilihan raya.

PDRM, katanya, akan terus memantau perjalanan kempen dan ceramah termasuk meneliti kandungan di media sosial bagi mengesan sebarang unsur provokasi atau isu sensitif yang berpotensi mencetuskan ketegangan awam.

Hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning ditetapkan pada 26 April, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 22 April.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE