BUKIT MERTAJAM, 13 April- DAP Pulau Pinang menghantar jentera bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) yang mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Tapah, Perak.
Pengerusinya Steven Sim Chee Keong berkata sokongan penuh diberikan kepada calon Kerajaan MADANI demi memastikan wakil rakyat yang dipilih benar-benar mewakili kehendak dan kepentingan rakyat.
Menurut beliau, DAP telah melantik Wong Kah Woh sebagai Pengarah Pilihan Raya, manakala Howard Lee pula bertindak sebagai penyelaras PRK DUN Ayer Kuning.
"Saya sendiri telah dijemput untuk memberikan ucapan dan kita akan turun membantu. Bagi DAP Pulau Pinang, tiada masalah untuk memberi sokongan penuh kepada kempen tersebut," katanya
Chee Keong ditemui pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri DAP Pulau Pinang di sini hari ini yang dihadiri oleh kira-kira 1,000 pengunjung.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek, 44; dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.