fb fb fb fb fb

Hajiji Noor ajak rakyat Sabah beri mandat kepada GRS

Sekitar kemeriahan kempen Rumah Kita Kita Jaga GRS di Dataran Tomborungus, Kudat

KUDAT, 25 November - Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, mengingatkan rakyat supaya tidak memilih parti yang pernah gagal mentadbir negeri ini.

Sebaliknya, katanya, pengundi perlu memberi mandat kepada GRS yang telah membuktikan prestasi cemerlang sepanjang lima tahun mentadbir Sabah, termasuk pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pembangunan ekonomi, kutipan hasil dan rizab negeri.

"GRS melangkah menghadapi pilihan raya ini dengan penuh yakin. Kejayaan kita memerintah Sabah lima tahun lepas termasuk mengangkat ekonomi negeri dan membela nasib rakyat telah kita laksanakan," katanya semasa kempen Rumah Kita Kita Jaga GRS di Dataran Tomborungus, Kudat, yang meliputi kawasan DUN Banggi dan Tanjung Kapor.

Hajiji menegaskan, GRS bukan seperti pembangkang yang hanya mengeluarkan retorik kosong. Menurutnya, kerajaan negeri berjaya meningkatkan hasil negeri Sabah daripada RM4 bilion kepada RM7 bilion, dan dijangka melebihi RM7 bilion tahun depan.

Beliau turut menegaskan tuduhan kerajaan negeri gagal adalah tidak berasas, memandangkan pemimpin pembangkang juga pernah memegang jawatan penting tetapi tidak menyelesaikan isu asas rakyat.

Hajiji menyeru rakyat di Banggi dan Tanjong Kapor memilih calon GRS yang mempunyai perancangan jelas untuk pembangunan kawasan tersebut bagi meneruskan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE