KOTA KINABALU, 25 November - Sebanyak 92.5 peratus pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hari ini menunaikan tanggungjawab mereka dalam proses pengundian yang bermula pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang.
Sebanyak 58 Pusat Mengundi Awal dibuka di seluruh Sabah, membabitkan 8,347 anggota tentera dan pasangan serta 10,696 anggota polis termasuk PGA dan pasangan yang layak mengundi.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah 17,615 pengundi awal itu mencerminkan tahap kehadiran yang tinggi dan disiplin pengundi.
"SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan atas pelaksanaan tanggungjawab dengan cemerlang pada hari ini," menurut kenyataan SPR.
Selain itu, SPR turut mengucapkan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, petugas media serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas kerjasama dan sokongan diberikan.