KUDAT, 25 November - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, memberi jaminan bahawa kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan menaik taraf daerah kecil Matunggong kepada daerah penuh, selagi ia memenuhi syarat dan keperluan yang ditetapkan.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, usaha itu merupakan satu keperluan pembangunan yang wajar diberi perhatian supaya penduduk Matunggong menerima pentadbiran yang lebih cepat, teratur dan setara dengan daerah lain.
Katanya, GRS komited membantu rakyat di kawasan luar bandar dan Matunggong tidak terkecuali daripada agenda pembangunan tersebut.
"Daerah penuh, insya-Allah, kalau ini memenuhi semua syarat-syarat dan kepenuhan, kita akan pertimbangkan. Tidak ada masalah, kita akan pertimbangkan," katanya ketika ditemui media semasa Perhimpunan Mega Jelajah Kempen Pilihan Raya Umum DUN Matunggong di Dewan Terbuka Matunggong, Kudat.
Dalam pada itu, calon GRS Matunggong, Datuk Julita Majungki, berkata komitmen untuk merealisasikan impian penduduk merupakan satu usaha yang telah lama diperjuangkan dan kini semakin hampir menjadi kenyataan.
Katanya, kerja-kerja teknikal serta keperluan asas bagi menaik taraf Matunggong daripada daerah kecil telah disiapkan sejak tahun 2021.
“Ini memang impian yang kita harapkan berlaku di kawasan Matunggong sebab kita sudah lama memohon. Saya berharap kali ini, dalam tempoh penggal yang akan datang, kawasan ini boleh dinaik taraf sebagai sebuah daerah penuh. Demi kebaikan masyarakat dan rakyat di kawasan ini," kata Datuk Julita.
Beliau menjelaskan, Matunggong memenuhi beberapa kriteria penting termasuk jumlah penduduk, sumber kawasan, serta kewujudan pekan sedia ada di Sikuati yang boleh dibangunkan sebagai pusat pentadbiran.
Tambah Julita, sokongan golongan muda yang semakin positif adalah hasil hubungan rapat yang terjalin melalui program pendidikan dan penghargaan akademik sejak empat tahun lalu.
Beliau yang telah selesai menjelajah 25 pusat daerah mengundi (PDM) berkata, sambutan masyarakat sepanjang siri kempen amat memberangsangkan dan memberi keyakinan bahawa GRS berada di landasan kukuh untuk mempertahankan kerusi tersebut.