fb fb fb fb fb

MCMC tampil segera atasi isu liputan di Ayer Kuning

Datuk Fahmi Fadzil menyantuni pengunjung ketika melawat makmal komputer sempena Hari Bersama Komuniti (HBK) Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di NADI Ayer Kuning, semalam / BERNAMA

TAPAH, 14 April- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah segera susulan teguran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berhubung isu liputan internet dan telekomunikasi yang tidak memuaskan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menurut kenyataan MCMC, sebanyak 27 lokasi telah dikenal pasti mengalami masalah liputan, termasuk beberapa kawasan tumpuan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Antara kawasan utama yang diberi keutamaan termasuk Pusat Penamaan Calon di Dewan Merdeka, Tapah, 21 Pusat Mengundi sekitar DUN Ayer Kuning, Pusat Media di Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Batang Padang; dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Air Kuning serta NADI PPR Sri Bidor.

"Setakat PUKUL 6 petang semalam, semua penyedia perkhidmatan utama; CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL telah mengemukakan pelan penambahbaikan terkini kepada MCMC.

"Langkah-langkah yang dirancang melibatkan pengoptimuman stesen pemancar sedia ada, pemasangan pemancar sementara serta pelaksanaan perkongsian infrastruktur antara syarikat penyedia.

"Bagi mendekati masyarakat setempat, MCMC turut membuka Kaunter Aduan khas di Pejabat Penerangan Daerah Batang Padang mulai 12 hingga 26 April 2025.

"Kaunter tersebut akan beroperasi setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam untuk menerima aduan berkaitan telekomunikasi, pos dan isu-isu lain di bawah bidang kuasa MCMC, " menurut kenyataan tersebut.

MCMC memaklumkan, pemantauan liputan akan dilakukan secara harian sepanjang tempoh PRK dan segala aduan baharu akan disalurkan terus kepada penyedia perkhidmatan untuk tindakan segera.

"Pihak MCMC turut menegaskan bahawa sebarang kelewatan atau kegagalan mematuhi arahan penambahbaikan ini akan dikenakan tindakan penguatkuasaan selaras dengan undang-undang sedia ada," tambah kenyataan itu lagi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE