TAPAH, 14 April- Pendekatan turun padang oleh calon-calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning disambut baik oleh pengundi yang menganggap usaha mendekati mereka secara bersemuka sebagai langkah tepat dan wajar.
Bagi sebahagian besar pengundi, kehadiran calon di kawasan mereka menunjukkan kesungguhan untuk memahami isu tempatan secara langsung, selain memberikan peluang kepada rakyat menyuarakan pandangan dan keperluan mereka.
"Memang sepatutnya calon turun padang dan ambil tahu masalah penduduk setempat. Kehadiran mereka bagus kerana dapat bertemu sendiri dengan rakyat di peringkat bawah," kata Sarah Nordiyana Mohd Salleh.
Pandangan itu turut dikongsi Sheba Shakthee yang berpendapat calon perlu lebih kerap menonjolkan diri agar pengundi dapat mengenali mereka dengan lebih dekat.
"Saya tahu ada calon yang bertanding, tapi tak begitu dikenali. Mereka perlu lebih kerap tampil dan tunjukkan diri kepada pengundi," ujarnya.
Seorang lagi pengundi, Salina Shairi menegaskan bahawa calon seharusnya melihat sendiri keadaan sebenar yang dihadapi rakyat, bukan sekadar hadir seketika lalu beredar.
"Memang perlu mereka turun tengok sendiri keadaan kami di bawah ini. Jangan sekadar datang sembang lepas tu terus pergi. Tinjau betul-betul kawasan kami," katanya.
Bagi calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir, sememangnya beliau memilih pendekatan bersemuka bagi menyampaikan mesej kempen serta mendengar sendiri keluhan masyarakat.
"Kami akan terus turun berjumpa dengan seramai mungkin rakyat, di tempat-tempat yang telah ditetapkan atau di mana-mana sahaja. Ini adalah salah satu cara kami untuk mendekati mereka, supaya mereka dapat menerima aspirasi kami.
"Dengan cara ini, kami juga dapat memahami lebih lanjut tentang keperluan dan perkara yang perlu diperbaiki untuk masyarakat," katanya.
Calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek turut meneruskan kempen hari ketiga hari ini dengan menyantuni pengundi di Kampung Mak Teh dan Pasar Tani Tapah Road, manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS berkempen di sekitar Pekan Getah dan Pasar Awam Tapah Road.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon daripada BN, PN dan PSM susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.