TAPAH, 15 April- Polis Perak mengesahkan menerima tiga laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Dua kesalahan berkaitan bahan berkempen telah diselesaikan manakala satu kes babitkan calon Perikatan Nasional (PN), dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Menurut Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti PDRM Perak, SAC Zaharudin Rasip, beberapa individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes.
"Kita telah jalan siasatan awal dan kita telah rakam percakapan. Setakat ini, tidak ada kesalahan, cuma dalam tauliah. Tauliah dia sebagai penceramah.
Tauliah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam hanya menyatakan beliau tidak boleh terlibat politik. Apapun, kita akan serahkan pada Jabatan Agama Islam Perak," kata Zaharudin kepada pemberita, hari ini.
SAC Zaharudin berkata demikian dalam Sidang Media Sempena Pilihan Raya Kecil N.48 di Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.
Beliau yang juga Jurucakap Polis Perak bagi PRK DUN Ayer Kuning, turut memaklumkan, ketika ini 23 permohonan permit ceramah bagi kempen PRK N.48 diluluskan pihaknya..