TAPAH, 16 April- Suasana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning semakin rancak apabila memasuki hari kelima tempoh berkempen, hari ini.
Tinjauan RTM mendapati jentera parti-parti yang bertanding giat menggerakkan kempen termasuk pemasangan bendera, sepanduk dan papan iklan di sekitar kawasan tumpuan serta bilik gerakan parti.
Pemasangan bahan kempen turut dipantau secara harian bagi memastikan ia tidak mendatangkan kemudaratan atau mengganggu keselamatan pengguna jalan raya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari, bermula Sabtu lalu hingga oukul 11.59 malam, 25 April ini.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional, Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional, Abdul Muhaimin Malek; serta calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS.
Ketiga-tiga calon kini giat turun padang memperkenalkan diri dan mengetengahkan manifesto masing-masing yang memfokuskan aspek pembangunan setempat, peluang pekerjaan serta kebajikan rakyat.