TAPAH, 17 April- Jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tidak akan meminggirkan pengundi kelabu atau atas pagar di kawasan itu.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kebanyakan pengundi kelabu di DUN itu terdiri daripada golongan muda.
Penerangan akan diberikan bertujuan menjawab setiap persoalan dan isu yang timbul bagi menawan sokongan mereka.
"Kita tidak boleh buat tak faham isu yang dimainkan, kita mesti terangkan dan kita mahu anak-anak muda diberikan penerangan mereka khususnya kepada pengundi kali pertama ini ramai.
"Sekarang ini usia 18 tahun automatik jadi pengundi. Jadi mereka ini tidak pernah ada parti, mereka bukan orang parti dan mereka ini budak-budak biasa. Mereka memang memerlukan penerangan untuk kepastian," katanya.
Beliau ditemui dalam sidang media ketika meninjau Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Batu Tiga di sini.
Mohamad juga berpuas hati dengan gerak kerja parti sepanjang kempen PRK Ayer Kuning yang telah memasuki hari keenam.