TEMOH, 18 April- Barisan Nasional (BN) menyasarkan kadar keluar mengundi sekurang-kurangnya 70 peratus pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April ini, kata Timbalan Pengerusi Barisan BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Justeru, pengundi muda yang berada diluar kawasan diseru menunaikan tugas demokrasi bagi memastikan keputusan mencerminkan sokongan majoriti rakyat.
"Saya harap agar anak-anak muda, jika mereka mahu melihat kesinambungan dan mahu melihat kerajaan ini stabil, mesti menjalankan tanggungjawab mereka.
"Kita tidak mahu melihat kedatangan pengundi di bawah 50 peratus. Kalau boleh, kita mahu melihat supaya peratusan kehadiran atau pembuangan undi melebihi 70 peratus.
"Ini akan menggambarkan bahawa kemenangan mana-mana pihak. Insya-Allah, saudara Yusri (Dr Mohamad Yusri Bakir), mendapat sokongan majoriti daripada rakyat tempatan. Jadi, kepada anak muda yang berada di luar kawasan, pulanglah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyantuni penduduk di Kampung Batu Masjid, Tapah.
Hadir sama, Calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Terdahulu, Mohamad bersama calon BN turut mengadakan ziarah rumah ke rumah bagi melawat pengundi yang diuji dengan masalah kesihatan.