fb fb fb fb fb

Tiga calon bertanding PRK Ayer Kuning terus dekati pengundi

Dr Mohamad Yusri Bakir mewakili BN mendekati pengundi di kedai makan sekitar Ayer Kuning

TAPAH, 18 April- Genap seminggu tempoh berkempen bagi ketiga-tiga calon Dr Mohamad Yusri Bakir mewakili BN, Abdul Muhaimin Malek (PN) dan Bawani KS (PSM) yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berjaya meliputi lebih 50 peratus Pusat Daerah Mengundi (PDM) di kawasan tersebut.

Calon BN PRK Ayer Kuning Dr Mohamad Yusri Bakir berkata, beliau memanfaatkan baki tujuh hari lagi menjelang hari pengundian dengan memperhebat program turun padang bertemu penduduk setempat.

"Alhamdulilah kita bersyukur kerana berjaya menyelesaikan kempen setakat ini. Kempen-kempen telah pun kita buat dan insya-Allah kita akan teruskan kempen hingga menjelang tempoh akhir kempen pada 26 April," katanya.

Beliau berkata demikan ketika ditemui pemberita di sini.

Sementara itu, bagi calon PN, Abdul Muhaimin Malek, beliau berpuas hati dengan perjalanan kempen setakat ini dan terus berusaha memenangi hati pengundi. sehingga ke tarikh mengundi pada 26 April ini.

Manakala bagi calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS, beliau akan meneruskan kempen lawatan dari rumah ke rumah.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir, Abdul Muhaimin Malek (PN) dan Bawani KS (PSM).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal pada 22 April dan hari pengundian pada 26 April melibatkan 31,897 daftar pemilih.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI