fb fb fb fb fb

Manifesto calon BN Ayer Kuning dijangka dibentang minggu depan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad/ BERNAMA

TAPAH, 19 April- Manifesto calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Ayer Kuning dijangka dibentangkan selewat-lewatnya minggu depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang berkata, Jawatankuasa Induk BN akan mengadakan mesyuarat esok bagi memuktamadkan manifesto berkenaan.

“Manifesto peringkat negeri itu, negeri buat, tapi sudah tentu sebagai calon yang insya-Allah akan dipilih sebagai YB, dia ada inspirasi dia sendiri, apa yang dia nak gambarkan Ayer Kuning. Jadi, dia akan bentang esok tentang bagaimana Ayer Kuning patut dicorakkan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Jelajah AIM TVET with Cikgu Saarani yang berlangsung di Kompleks Sukan Tapah.

Saarani turut menyatakan keyakinannya terhadap prestasi calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, dan optimis parti itu berupaya menawan kerusi DUN Ayer Kuning pada hari pengundian, Sabtu depan.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.

Sementara itu, memasuki minggu terakhir kempen PRK Ayer Kuning, usaha meraih sokongan masyarakat terus dipergiat termasuk daripada golongan pengundi muda.

Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir berkata, beberapa siri perjumpaan telah diadakan termasuk penganjuran program khusus buat kumpulan tersebut.

"Pelbagai program kalau kita lihat sukan, futsal, kita ada townhall bersama pemuda belia dan sebagainya dan kita ada juga program yang melibatkan kemahiran TVET.

"Ini masanya golongan muda berikan sokongan padu kepada kerajaan untuk memastikan program atau perancangan bagi generasi akan berterusan", katanya kepada media selepas menyantuni pengundi DUN Ayer Kuning di Taman Seri Bidor, Tapah.

Dalam pada itu, calon PN, Abdul Muhaimin Malek juga menghadiri beberapa program di sekitar DUN Ayer Kuning bagi menyantuni pengundi dan calon PSM, Bawani KS, mempergiat sesi walkabout, termasuk kempen di media sosial.

Secara keseluruhan, terdapat 31,897 pengundi berdaftar di DUN Ayer Kuning. Mereka terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan.

Daripada jumlah tersebut, 45.9 peratus merupakan individu berusia 18 hingga 39 tahun.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal pada 22 April, manakala hari pengundian ditetapkan pada 26 April 2025. 

ROSLINA BINTI DIN