KOTA KINABALU, 15 November - Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 berlangsung serentak di 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) hari ini, membabitkan keseluruhan 73 kerusi DUN.
Tempoh penamaan calon yang ditutup pada pukul 10.00 pagi menyaksikan 596 calon daripada pelbagai parti politik dan calon Bebas disahkan layak bertanding.
Menurut pecahan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), calon Bebas muncul sebagai kumpulan terbesar dengan 74 calon, diikuti Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan 73 calon, serta Parti Impian Sabah (PIS) dengan 72 calon.
Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menampilkan 55 calon, manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) mempertaruhkan 46 calon.
Barisan Nasional (BN) mengemukakan 45 calon, Perikatan Nasional (PN) 42 calon, dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) 40 calon.
Selain itu, UPKO menampilkan 25 calon, Pakatan Harapan (PH) 22 calon, Parti Kebangsaan Sabah (PKS) 20 calon, manakala Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri) meletakkan 17 calon.
Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) menyertai saingan dengan 16 calon, Parti Bumi Kenyalang (PBK) 14 calon, manakala Parti Rumpun Sabah (Rumpun) menampilkan tujuh calon.
Turut bertanding, Parti Maju Sabah (SAPP) dengan enam calon, Parti Damai Sabah (SPP) lima calon, Perjuangan Rakyat (PR) lima calon, dan Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (GAS) tiga calon.
Parti Bangsa Malaysia (PBM) turut meletakkan tiga calon, diikuti Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) tiga calon, manakala Pejuang, Bersama dan Perpaduan masing-masing menampilkan seorang calon.
PRU DUN Sabah Ke-17 mencatatkan antara jumlah calon tertinggi dalam sejarah pilihan raya negeri itu, dengan persaingan dijangka sengit di kebanyakan kerusi seluruh Sabah.