TUARAN, 15 November - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli dalam parti komponennya yang bertanding atas tiket Bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berkata perkara itu dikhuatiri boleh menyebabkan berlaku pertembungan sama ada dengan calon PGRS sendiri atau dengan parti komponen dalam GRS.
"Bagi parti-parti yang friendly contest itu kita boleh terima, tetapi bagi ahli-ahli PGRS dan GRS yang bertanding calon Bebas, kita akan ambil tindakan untuk pecat mereka daripada parti.
"Ini kita tidak boleh bertolak ansur," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi kerusi DUN Sulaman, Pantai Dalit, Kiulu dan Tamparuli di Dewan Seri Sulaman.
Terdahulu, Datuk Seri Hajiji yang juga penyandang kerusi DUN Sulaman tiba seawal 9 pagi diiringi kepimpinan GRS serta ribuan penyokong.
Turut menghantar borang pencalonan masing-masing ialah penyandang DUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya; penyandang DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; dan calon baharu DUN Tamparuli, Dr Bonaventure Boniface.