
KINABATANGAN, 24 Januari- Sebanyak 36 pusat pengundian dengan 117 tempat mengundi atau saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dibuka serentak pada 7.30 pagi ini.
- 36 pusat pengundian dengan 117 saluran dibuka serentak dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang hari ini.
- Seramai 48,282 pengundi dijangka memilih wakil Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag hari ini.
- Penjumlahan rasmi undi di Dewan Sri Lamag, keputusan dijangka diumumkan sekitar 10 malam.
- PRK Parlimen tiga penjuru; DUN Lamag satu lawan satu, kelahiran PRK susulan kematian penyandang Bung Moktar.
Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka hingga 5.30 petang dan menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak dua pusat mengundi ditutup pada 12 tengah hari, manakala 34 pusat mengundi pula ditutup secara berperingkat mulai 1 tengah hari hingga 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan.
Menurut SPR, proses pengundian hari ini melibatkan 48,282 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.
Penjumlahan rasmi undi pula akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Sri Lamag dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 10 malam.
Proses pengundian dikendalikan 1,106 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain 926 pegawai dan anggota polis yang ditugaskan pada hari mengundi.
Pada Selasa lepas, SPR memaklumkan sebanyak 93 peratus atau 176 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi kedua-dua PRK berkenaan yang berlangsung di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Kesemua lima calon akan mengundi pada PRK berkenaan dengan Mohd Kurniawan Naim akan mengundi di SK Bilit, Saddi (SK Batu Puteh), Goldam (SK Pekan Tongod), Mohd Ismail (SK Bukit Garam II) dan Mazliwati di SK Buang Sayang.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lepas.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selepas memperoleh majoriti 4,330 undi dengan menewaskan pencabarnya Mazliwati daripada Warisan.
Bung Moktar turut melakar kemenangan dalam saingan lima penjuru di DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 29 November lepas dengan memperoleh majoriti 153 undi. -BERNAMA