
KINABATANGAN, 24 Januari – Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag selepas Mohd Ismail Ayob memperoleh 5,681 majoriti undi menewaskan pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek yang mewakili Warisan.
- BN mengekalkan kerusi DUN Lamag melalui calon Mohd Ismail Ayob dengan majoriti 5,681 undi.
- Mohd Ismail memperoleh 7,269 undi manakala pencabar Warisan, Mazliwati Abdul Malek mendapat 1,588 undi.
- PRK diadakan susulan kematian penyandang, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember tahun lepas.
- Jumlah undi direkodkan 9,024 dengan peratusan keluar mengundi 64.93 dan 160 kertas undi ditolak.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dr Eddy Syaizul Rizam Abdullah mengumumkan keputusan itu di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Sri Lamag di sini malam ini.
Pertandingan satu lawan satu itu menyaksikan Mohd Ismail, atau lebih dikenali dengan nama Miha, mendapat 7,269 undi manakala Mazliwati 1,588 undi.
PRK DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lepas.
Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada November lepas, Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag untuk penggal kedua selepas memenangi saingan lima penjuru dengan majoriti 153 undi.
Dalam pada itu Dr Eddy Syaizul Rizam turut memaklumkan sebanyak 160 kertas undi ditolak dalam PRK berkenaan. Jumlah keseluruhan undi yang direkodkan pada pilihan raya berkenaan adalah sebanyak 9,024 undi, dengan peratusan keluar mengundi mencecah 64.93 peratus.
Sebanyak 160 kertas undi ditolak, manakala tujuh kertas undi dilaporkan tidak dikembalikan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat serta memaklumkan bahawa keseluruhan proses demokrasi itu berlangsung dengan lancar tanpa sebarang gangguan.
Terdahulu, calon BN, Mohd Ismail Ayob, yang mengenakan kemeja-T berwarna hitam, tiba di Dewan Sri Lamag pada pukul 9.55 malam. Turut hadir menyaksikan pengumuman keputusan ialah Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Jafry Ariffin.