Komunikasi organisasi tanpa sempadan membunuh ‘work-life balance’?

Foto janaan AI

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Komunikasi digital tanpa sempadan mencipta budaya sentiasa tersedia, menyebabkan keletihan digital dan risiko burnout.
  • Kepimpinan berperanan; pemimpin perlu menetapkan had komunikasi dan elakkan menggunakan teknologi sebagai mekanisme kawalan.
  • Perkenalkan hak untuk tidak menjawab komunikasi luar waktu kerja dan polisi digital jelas untuk melindungi kesejahteraan pekerja.

Tidak lama dahulu, urusan kerja biasanya berakhir apabila pekerja meninggalkan pejabat. Selepas pukul 5.00 petang, kebanyakan pekerja dapat menumpukan perhatian kepada keluarga, berehat atau menjalani kehidupan peribadi tanpa gangguan tugasan kerja. Namun dalam era digital hari ini, keadaan tersebut semakin berubah.

Telefon pintar dan aplikasi komunikasi seperti WhatsApp telah mengubah cara organisasi berhubung dengan pekerja.

Apa yang pada asalnya bertujuan untuk mempercepatkan komunikasi kini menjadi sebahagian daripada budaya kerja yang menjangkaui batas waktu pejabat.

Mesej berkaitan kerja boleh diterima pada bila-bila masa, sama ada lewat malam, hujung minggu mahupun ketika pekerja sedang bercuti.

Budaya Kerja Pasca-pandemik

Fenomena ini semakin ketara selepas pandemik COVID-19. Pelaksanaan kerja dari rumah dan sistem kerja hibrid telah mempercepatkan penggunaan platform komunikasi digital dalam organisasi.

WhatsApp bukan lagi sekadar medium perbualan sosial, tetapi telah menjadi saluran rasmi penyampaian arahan, pemantauan tugas dan perbincangan organisasi.

Walaupun pendekatan ini meningkatkan kecekapan komunikasi, ia turut mewujudkan cabaran baharu. Ramai pekerja mula merasakan bahawa mereka perlu sentiasa bersedia untuk memberi respons kepada mesej kerja.

Keadaan ini mewujudkan budaya ‘always online’ yang secara perlahan-lahan menghakis sempadan antara kehidupan profesional dan kehidupan peribadi.

Tekanan komunikasi digital merupakan isu yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia. Pekerja bukan sahaja perlu menyiapkan tugasan harian, malah berdepan dengan aliran notifikasi yang berterusan.

Setiap bunyi mesej berpotensi menimbulkan kebimbangan sama ada terdapat tugasan baharu yang perlu diselesaikan segera.

Pekerja Organisasi Alami Keletihan Digital

Keadaan ini menyebabkan ramai pekerja mengalami apa yang dikenali sebagai ‘digital fatigue’ atau keletihan digital. Mereka sukar untuk benar-benar berehat kerana minda masih terikat dengan tuntutan kerja walaupun berada di luar waktu pejabat.

Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menyumbang kepada ‘burnout’, iaitu keletihan fizikal, emosi dan mental akibat tekanan kerja yang berpanjangan.

Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila budaya komunikasi luar waktu kerja menjadi norma organisasi. Ada pekerja yang berasa bersalah jika tidak membalas mesej dengan segera.

Ada juga yang bimbang dianggap tidak komited sekiranya tidak memberi respons pada waktu malam atau ketika cuti.

Dalam situasi sebegini, isu sebenar bukan terletak pada teknologi, tetapi pada gaya kepimpinan organisasi. Teknologi hanyalah alat komunikasi.

Namun apabila pemimpin menjadikan komunikasi digital sebagai mekanisme kawalan yang berterusan, ia boleh mewujudkan persekitaran kerja yang tidak sihat.

Pemimpin Organisasi Yang Bijak Mampu Mengawal Keadaan

Kepimpinan yang sihat menghormati batas masa kerja pekerja. Sebaliknya, kepimpinan toksik sering dicirikan oleh jangkaan bahawa pekerja perlu sentiasa tersedia tanpa mengira waktu.

Mesej yang dihantar pada tengah malam mungkin kelihatan kecil, tetapi jika berlaku secara konsisten, ia boleh menghantar mesej bahawa pekerja perlu sentiasa berada dalam mod kerja.

Kesan budaya ini bukan sahaja dirasai di tempat kerja, malah mempengaruhi kesejahteraan hidup pekerja secara keseluruhan. Gangguan tidur, tekanan emosi, kebimbangan dan konflik antara kerja dengan keluarga merupakan antara kesan yang sering dilaporkan.

Apabila masa rehat tidak lagi dihormati, pekerja kehilangan peluang untuk memulihkan tenaga fizikal dan mental.

‘Right to Disconnect’

Beberapa negara maju telah mula memperkenalkan konsep ‘Right to Disconnect’, iaitu hak pekerja untuk tidak menjawab komunikasi berkaitan kerja di luar waktu pejabat. Pendekatan ini bertujuan melindungi kesejahteraan pekerja tanpa menjejaskan produktiviti organisasi.

Malaysia mungkin belum mempunyai peruntukan khusus berkaitan perkara ini. Namun, organisasi boleh mengambil langkah proaktif dengan membangunkan polisi komunikasi digital yang jelas.

Antaranya termasuk menetapkan garis panduan penghantaran mesej selepas waktu pejabat, mengelakkan jangkaan respons segera dan menggalakkan budaya menghormati masa peribadi pekerja.

Teknologi Dalam Organisasi Bantu Tingkatkan Indeks Kegembiraan Pekerja

Hakikatnya, teknologi sepatutnya membantu manusia bekerja dengan lebih baik dan meningkatkan indeks kegembiraan, bukannya menyebabkan manusia bekerja sepanjang masa.

Dalam dunia yang semakin digital, kejayaan organisasi tidak seharusnya diukur hanya melalui kelajuan respons atau jumlah mesej yang dihantar. Sebaliknya, ia perlu dinilai melalui kemampuan organisasi membina budaya kerja yang produktif, sihat dan lestari.

Pekerja bukan mesin yang boleh beroperasi tanpa henti. Mereka memerlukan ruang untuk beristirahat, bersama keluarga, dan menjaga kesejahteraan diri.

Justeru, menghormati sempadan antara kerja dan kehidupan peribadi bukan sahaja tanggungjawab pekerja, tetapi juga tanggungjawab setiap pemimpin yang ingin membina organisasi yang mampan dan berdaya tahan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Profesor Madya Dr Ahlam Abdul Aziz
Pensyarah Pengurusan Komunikasi Organisasi
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
E-mel: ahlam@uitm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.