Ringgit kukuh, Sime Darby kekalkan harga kenderaan

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson

PETALING JAYA, 26 Februari – Sime Darby Berhad tidak bercadang untuk membuat sebarang penstrukturan semula harga bagi kenderaan edarannya meskipun berdepan cabaran susulan pengukuhan ringgit berbanding mata wang utama dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sime Darby tidak akan menyusun semula harga kenderaan walaupun ringgit menguat berbanding mata wang utama.
  • Syarikat menggunakan pelarasan margin strategik untuk kekal berdaya saing tanpa mengubah harga jualan.
  • Keuntungan bersih suku kedua meningkat kepada RM431 juta, didorong oleh prestasi automotif dan kos pembiayaan lebih rendah.
  • Sime Darby kekal optimis mengenai TIV 2026 sekitar 790,000 unit meskipun bersikap konservatif.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, syarikat memilih pendekatan pelarasan margin secara strategik bagi memastikan kedudukannya kekal berdaya saing.

“Dari sudut keuntungan, keadaan ini kurang menguntungkan kerana kebanyakan pendapatan kami diperoleh dari luar negara dan perlu ditukar semula kepada ringgit, sekali gus memberi kesan langsung akibat pengukuhan mata wang tempatan.

“Namun begitu, prestasi kewangan kami secara keseluruhan masih berada pada tahap yang memuaskan,” katanya pada taklimat keputusan kewangan suku kedua tahun kewangan 2026, hari ini.

Bagi unjuran tahun kewangan semasa, beliau menjangkakan prestasi kumpulan kekal setara dengan pencapaian tahun lalu.

Dalam prospek permintaan domestik, Sime Darby mengunjurkan jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) bagi 2026 mencecah 790,000 unit, selaras dengan unjuran pakar industri.

Jelas beliau, jumlah itu jauh lebih kukuh berbanding jangkaan awal syarikat antara 750,000 hingga 760,000 unit.

“Secara peribadi, saya masih menjangkakan TIV sekitar bawah 800,000 unit, tetapi saya bersikap konservatif dan cenderung meletakkan sedikit lebih rendah. Itu pandangan saya, jadi kita kekal dengan angka 790,000 unit,” katanya.

Sementara itu, Sime Darby mencatat keuntungan bersih RM431 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025, meningkat berbanding RM305 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Peningkatan tersebut didorong prestasi lebih kukuh bahagian automotif serta kos pembiayaan yang lebih rendah.

Sime Darby Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM431 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025, meningkat berbanding RM305 juta pada tahun sebelumnya.

Peningkatan tersebut didorong prestasi lebih kukuh bahagian automotif serta kos pembiayaan yang lebih rendah.