
PUTRAJAYA, 21 Ogos – Program pembangunan bakat melibatkan kerjasama antara Malaysia dengan Arm Limited akan diperkasa menerusi penglibatan 12 universiti bagi memastikan latihan teknologi semikonduktor selari dengan keperluan industri.
- Universiti bersetuju mengintegrasikan latihan dalam pengajian, latihan industri dan projek tahun akhir untuk menyepadukan kemahiran pelajar.
- Pendekatan tidak bersilo membentuk saluran tenaga kerja tersusun bagi memenuhi permintaan industri reka cip dan teknologi semikonduktor.
- Sasaran pembangunan 10,000 bakat dalam empat tahun; 1,530 peserta telah mengikuti latihan atas permintaan setakat ini.
- Kursus dalam talian 200 jam dan latihan bersepadu ASEM SIDEC meningkatkan peluang gaji permulaan serta kenaikan pendapatan berpengalaman.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan bakat tidak dilaksanakan secara berasingan, sebaliknya membentuk saluran tenaga kerja yang lebih tersusun untuk memenuhi permintaan industri.
Antara pendekatan yang dipersetujui universiti terlibat ialah mengintegrasikan latihan Arm dalam program pengajian, latihan industri serta projek tahun akhir pelajar.
“Kita bersepakat bahawa perkara ini sebenarnya lebih elok sekiranya tidak digerakkan secara silo.
“Universiti juga bersetuju supaya latihan ini diterapkan sebagai sebahagian daripada bidang yang mereka sedang ikuti, termasuk program latihan praktikal dan projek tahun akhir,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Arm Limited, di sini.
Menurut Akmal, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha membina saluran bakat lebih awal, khususnya dalam bidang reka bentuk cip, elektronik dan teknologi semikonduktor.
Kerjasama tersebut menyasarkan pembangunan 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun, dengan 1,530 peserta telah mengikuti program Arm On-Demand Training, setakat ini.
Program itu menawarkan kursus dalam talian selama 200 jam, selain latihan bersepadu bersama Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) di bawah Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (SIDEC).
Akmal berkata, peserta yang mengikuti program latihan bersepadu berkenaan sebelum ini ada yang memperoleh gaji permulaan antara RM5,000 hingga RM5,100.
“Dengan pengalaman antara dua hingga tiga tahun, pendapatan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang berkenaan berpotensi meningkat kepada sekitar RM8,000 hingga RM9,000.
“Keperluan itu memang ada, peluang itu juga ada, cuma kemahiran inilah yang kita hendak terapkan dalam kalangan para graduan mahupun mereka yang telah berada dalam industri, tetapi nak berpindah ataupun pengkhususan kepada reka cip,” katanya.
Akmal mengakui, pembangunan bakat berkemahiran tinggi penting bagi memastikan Malaysia tidak lagi bergantung kepada kelebihan kos yang rendah semata-mata, sebaliknya mampu bersaing berdasarkan kemahiran dan kepakaran tenaga kerja tempatan.
Katanya, bakat perlu dibangunkan lebih awal sebelum permintaan industri menjadi kritikal bagi mengurangkan jurang antara keperluan industri dengan tenaga kerja yang tersedia.