
KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Jumaat, disokong peningkatan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
- Jangkaan langkah fiskal China dan peningkatan pengeluaran tayar menunjukkan permintaan hiliran lebih kukuh.
- Kebimbangan El Niño boleh menjejaskan pengeluaran getah asli, manakala ringgit lemah menyokong sentimen pasaran.
- Penurunan harga minyak mentah dan ketidaktentuan geopolitik Asia Barat mengehadkan kenaikan pasaran.
- Pada 3 petang SMR20 naik sembilan sen kepada 947.0 sen/kg; lateks pukal susut satu sen kepada 679.5 sen/kg.
Beliau berkata jangkaan langkah rangsangan tambahan oleh China serta permintaan lebih kukuh daripada industri tayar negara itu turut meningkatkan sentimen pasaran.
“China mengumumkan untuk melaksanakan langkah dasar fiskal tambahan mengikut keperluan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi susulan momentum pertumbuhan yang semakin perlahan.
“Selain itu, pengeluaran tayar getah China meningkat 8.1 peratus tahun ke tahun kepada 102.66 juta unit pada Julai, menunjukkan permintaan hiliran yang lebih kukuh,” katanya kepada Bernama.
Peniaga itu berkata kebimbangan berterusan terhadap fenomena El Niño yang boleh menjejaskan pengeluaran getah asli di kawasan pengeluaran utama, selain ringgit yang lemah berbanding dolar AS turut menyokong sentimen pasaran.
Bagaimanapun, penurunan harga minyak mentah serta ketidaktentuan geopolitik yang berterusan di Asia Barat mengehadkan kenaikan selanjutnya, katanya.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) meningkat sembilan sen kepada 947.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut satu sen kepada 679.5 sen sekilogram. -BERNAMA