Penerima baharu token teknologi Arm diumum dalam tiga minggu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Senarai syarikat penerima baharu token teknologi Arm Flexible Access (AFA) dan Arm Compute Subsystems (CSS) akan diumumkan dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi selepas semua proses pentadbiran dimuktamadkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilihan penerima dimuktamadkan oleh jawatankuasa berdasarkan kriteria dan keupayaan setiap syarikat.
  • Mesyuarat penilaian seterusnya dijadualkan 30 Julai 2026 dan dipengerusikan bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
  • Aspek komitmen diberi perhatian termasuk jaminan peluang pekerjaan dan penggunaan ekosistem dalam negara.
  • Token AFA dan CSS memberi akses teknologi Arm untuk pembangunan reka bentuk cip serta teknologi kecerdasan buatan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pemilihan itu akan dimuktamadkan selepas jawatankuasa berkaitan meneliti permohonan berdasarkan kriteria serta keupayaan setiap syarikat.

Menurut beliau, mesyuarat bagi menilai kumpulan seterusnya dijadualkan berlangsung pada Khamis (30 Julai 2026) dan akan dipengerusikan bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Apabila kita meneliti permohonan yang dikemukakan berdasarkan kriteria dan keupayaan masing-masing, aspek komitmen turut diberi perhatian. Kita mahu memastikan syarikat berkenaan memberi jaminan dalam menyediakan peluang pekerjaan serta menggunakan ekosistem yang tersedia dalam negara,” katanya selepas Taklimat Arm Flexible Access (AFA) oleh MIDA dan Majlis Graduasi serta Penghargaan Bakat Malaysia bagi Program Latihan Reka Bentuk IC ASEM.

Token berkenaan melibatkan akses kepada teknologi Arm menerusi program AFA dan Arm Compute Subsystems (CSS) yang membolehkan syarikat membangunkan reka bentuk cip dan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif itu menjadi antara langkah kerajaan memperkukuh keupayaan syarikat tempatan dalam aktiviti semikonduktor bernilai tinggi, khususnya reka bentuk litar bersepadu (IC).

Sebelum ini, empat syarikat Malaysia ditawarkan enam akses teknologi Arm bagi mempercepat pembangunan produk semikonduktor tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.