
KAJANG, 26 Februari– Nilai transaksi pasaran harta tanah negara pada 2025 mencatat rekod tertinggi dalam tempoh sedekad, melepasi paras RM240 bilion.
- Rekod transaksi hartanah 2025 melepasi RM240 bilion, disokong oleh pertumbuhan hartanah siap dibina dan aktiviti pembinaan kukuh.
- Indeks Harga Rumah meningkat 2.6% kepada 233.1 mata dengan harga purata RM502,922 seunit; semua negeri mencatat pertumbuhan.
- Unit kediaman siap tidak terjual melebihi 30,000 unit bernilai RM17.73 bilion, walaupun penghunian pejabat dan kompleks perniagaan meningkat.
Menurut Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak, prestasi itu disokong oleh pertumbuhan positif pada peringkat siap dibina, selain aktiviti pembinaan bagi harta tanah kediaman, kedai dan industri yang kekal kukuh.
“Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, pasaran hartanah negara terus menunjukkan daya tahan apabila merekodkan 416,413 transaksi bernilai RM241.87 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta Tahun 2025, di sini hari ini.
Tambah beliau, pencapaian itu selari dengan pertumbuhan kukuh sektor pembinaan Malaysia khususnya bagi subsektor bangunan bukan kediaman yang meningkat 18.6 peratus.
Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) pula mencatat pertumbuhan positif sebanyak 2.6 peratus kepada 233.1 mata, dengan harga purata RM502,922 seunit.
Semua negeri merekodkan pertumbuhan antara 0.8 hingga 6.9 peratus.
Dari segi penawaran, prestasi kediaman siap dibina tidak terjual mencatat momentum peningkatan, apabila merekodkan lebih 30,000 unit bernilai RM17.73 bilion.
Jumlah itu meningkat lebih 30 peratus dari segi bilangan dan 27 peratus dari segi nilai berbanding suku sebelumnya.
Bagaimanapun, subsektor pangsapuri khidmat siap dibina tidak terjual menunjukkan prestasi yang lebih baik apabila mencatat penurunan 4.2 peratus dari segi bilangan dan 1.7 peratus dari segi nilai kepada 18,752 unit bernilai RM15.42 bilion, berbanding 19,564 unit bernilai RM15.7 bilion pada suku ketiga 2025.
Dalam segmen komersial, kadar penghunian pejabat binaan khas milik persendirian dan kompleks perniagaan turut mencatat peningkatan positif, masing-masing kepada 71.9 peratus dan 78.9 peratus.
Mengulas prospek tahun 2026, beliau berkata trajektori pertumbuhan pasaran harta tanah dijangka kekal berdaya tahan dengan pendekatan berhati-hati, sejajar dengan unjuran ekonomi negara yang terus berkembang secara sederhana.