Dari Lorong gelap ke cahaya hijrah

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Hijrah adalah titik permulaan perubahan; memerlukan keberanian, kesungguhan dan keazaman untuk membina semula jati diri.
  • Pendekatan kerohanian seperti ibadah, zikir, doa dan tazkiyah al-nafs penting dalam proses pemulihan dan perubahan tingkah laku secara semula jadi.
  • Masyarakat dan kerajaan perlu beri sokongan, bimbingan dan dasar pemulihan berwibawa, bukan stigma, untuk memudahkan reintegrasi dan pembinaan insan.

Suatu ketika, seorang anak muda yang ditemui menggambarkan hidupnya seakan berjalan dalam lorong yang gelap. Kekeliruan identiti dan gaya hidup yang menjauhkan dirinya daripada ketenangan jiwa membuatkan dia sering bergelut dengan rasa bersalah dan kehilangan arah.

Pada satu fasa, dia terlibat dengan kecenderungan identiti seksual seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender, yang menambah lagi konflik dalaman yang dialaminya.

Namun, dalam kegelapan itu masih ada cahaya. Pada titik penting kehidupannya, dia menyedari bahawa hidup tidak boleh terus hanyut tanpa tujuan. Keputusan untuk berubah menuntut keberanian, kesungguhan dan keazaman untuk memulakan kehidupan baharu yang lebih selari dengan tuntutan agama.

Hijrah Sebagai Titik Permulaan

Perjalanan hijrah bukanlah sesuatu yang mudah. Ia berlaku secara perlahan, namun setiap langkah membawa makna besar dalam membina semula jati diri. Hakikatnya, kisah sebegini bukan asing dalam masyarakat kita.

Ramai individu melalui kekeliruan identiti, tekanan sosial dan pencarian makna hidup sebelum akhirnya memilih untuk kembali kepada jalan yang lebih baik.

Dalam ajaran Islam, kesilapan masa lalu bukanlah noktah kehidupan. Sebaliknya, ia boleh menjadi titik permulaan kepada perubahan bermakna. Pintu taubat sentiasa terbuka, memberi peluang kepada setiap insan untuk membina semula dirinya.

Individu yang berusaha memperbaiki diri sering berdepan stigma sosial, persepsi negatif masyarakat serta perasaan rendah diri akibat pengalaman silam.

Ada yang bimbang untuk kembali ke masyarakat kerana takut dipandang serong, ada pula yang bergelut dengan konflik emosi dan keraguan terhadap kemampuan diri.

Islam mengajarkan bahawa manusia tidak dinilai berdasarkan masa lalu, tetapi berdasarkan ketakwaan dan usaha memperbaiki diri. Maka, pendekatan menghukum hanya akan menjauhkan mereka daripada masyarakat. Sebaliknya, empati, bimbingan dan kasih sayang lebih berkesan dalam membantu mereka kembali ke jalan kebaikan.

Pemulihan Melalui Kerohanian

Pendekatan kerohanian memainkan peranan penting dalam proses perubahan diri. Tradisi Islam menekankan pembangunan insan bukan sahaja dari aspek intelektual dan fizikal, tetapi juga kekuatan rohani.

Melalui ibadah, zikir, doa dan amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT, hati akan dipenuhi dengan nilai keimanan. Ulama besar seperti Imam al-Ghazali menekankan konsep tazkiyah al-nafs — usaha menyucikan jiwa daripada unsur negatif dan memperkukuh hubungan dengan Allah SWT.

Apabila hati tenang dan dipandu iman, perubahan tingkah laku akan berlaku secara semula jadi.

Di Malaysia, pelbagai usaha dilakukan oleh institusi dakwah, badan bukan kerajaan dan ahli akademik untuk membantu individu kembali kepada kehidupan yang lebih selari dengan nilai agama.

Antara pendekatan yang dilaksanakan ialah program pembangunan insan yang menekankan muhasabah diri, pengukuhan spiritual dan pembinaan jati diri.

Program GOLD Camp anjuran Bersama Universiti Islam Selangor (UIS) dan Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM) misalnya memberi ruang kepada peserta menilai semula perjalanan hidup melalui pengisian kerohanian, sesi refleksi dan perkongsian pengalaman.

Pendekatan sebegini membantu membina keyakinan diri, memahami tujuan hidup dan menyedari bahawa perubahan sentiasa mungkin berlaku.

Peranan Masyarakat dan Kerajaan

Sokongan masyarakat amat penting dalam membantu seseorang membina semula kehidupannya. Konsep ukhuwwah Islamiyyah menekankan persaudaraan berasaskan kasih sayang dan saling membantu dalam kebaikan. Apabila individu diberi peluang, bimbingan dan sokongan, proses perubahan akan menjadi lebih mudah dan berkesan.

Kerajaan juga memikul tanggungjawab besar dalam menangani isu kecelaruan identiti dan gejala sosial. Pendekatan dasar dan perundangan perlu tegas, namun pada masa sama menekankan pemulihan dan pendidikan.

Program pembangunan insan, bimbingan agama serta dakwah berhikmah harus terus diperkasa agar mereka yang ingin berubah tidak merasa terpinggir.

Kisah anak muda yang pernah merasakan dirinya berada dalam “lorong gelap” mengajak kita kembali bermuhasah; bahawa perubahan sentiasa boleh berlaku. Dengan daya tahan diri yang tinggi, bimbingan yang betul, sokongan masyarakat dan pendekatan kerohanian, seseorang mampu menemukan kembali cahaya dalam perjalanan hidupnya.

Ini kerana dalam Islam, jalan pulang sentiasa terbuka bagi mereka yang ingin kembali kepada kebaikan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Noor Hafizah Mohd Haridi
Pensyarah Kanan
Jabatan Dakwah dan Usuluddin
Fakulti Pengajian Peradaban Islam
Universiti Islam Selangor
e-mel:noorhafizah@uis.edu.my