
KUALA LUMPUR, 26 Februari– Kumpulan Bank Dunia menerusi cabang sektor swastanya, Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC), telah melabur RM155.6 juta dalam Zetrix AI Bhd.
- IFC melabur RM155.6 juta dalam Zetrix AI untuk memajukan infrastruktur awam digital di Malaysia dan rantau berkembang.
- Perkhidmatan baru akan disepadukan dengan MyDigital ID dan Infrastruktur Blockchain Malaysia bagi meningkatkan interoperabiliti.
- Pelaburan menyokong agenda transformasi digital Malaysia selaras Rancangan Malaysia Ke-13 untuk pertumbuhan inklusif.
- Zetrix AI merancang inisiatif identiti digital, pelepasan kastam digital, model bahasa besar dan stablecoin untuk rangsang integrasi ASEAN.
Menerusi kenyataan bersama, IFC dan Zetrix AI menjelaskan pelaburan itu bertujuan meningkatkan akses kepada perkhidmatan infrastruktur awam digital di Malaysia serta pasaran pesat membangun di rantau ini dan luar ASEAN.
Perkhidmatan baharu itu akan disepadukan dengan ekosistem digital Malaysia menerusi MyDigital ID, sistem identiti digital negara, serta Infrastruktur Blockchain Malaysia (MBI), rangkaian perkhidmatan rantaian blok nasional negara.
Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia bagi Malaysia, Judith Green berkata pelaburan itu membuktikan komitmen IFC dalam memajukan agenda transformasi digital Malaysia, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13.
“Pembangunan perkhidmatan infrastruktur awam digital penting bagi menambah baik penyampaian perkhidmatan awam, memperkukuh daya saing ekonomi serta memastikan pertumbuhan yang inklusif dan mampan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI, TS Wong berkata pelbagai inisiatif meliputi identiti digital, pelepasan kastam digital, model bahasa berskala besar dan stablecoin, bertujuan memangkin perubahan di seluruh ASEAN serta mengukuhkan integrasi sosioekonomi serantau.