Malaysia catat pelaburan diluluskan RM92.8 bilion bagi suku pertama 2026

Selangor mencatatkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi diikuti Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Malaysia terus menunjukkan daya tahan ekonomi apabila merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM92.8 bilion bagi suku pertama tahun ini, menurut kenyataan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, MIDA.

RINGKASAN BERITA AI
  • 1,249 projek diluluskan merangkumi sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama.
  • Projek dijangka menjana lebih 50,000 pekerjaan baharu, peningkatan 46.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
  • Pelaburan asing kekal penyumbang utama manakala pelaburan domestik naik 13 peratus, mencerminkan keyakinan pelabur tempatan.

Jumlah berkenaan merangkumi 1,249 projek dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama.

“Walaupun nilai keseluruhan pelaburan susut kecil 0.2 peratus berbanding tempoh sama pada 2025, projek yang diluluskan dijangka mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan baharu, meningkat 46.7 peratus.

“Pelaburan asing kekal sebagai penyumbang utama dengan nilai RM56.2 bilion, manakala pelaburan domestik meningkat 13 peratus kepada RM36.6 bilion, sekali gus mencerminkan keyakinan berterusan pelabur tempatan terhadap ekonomi negara,”jelas kenyataan.

Jepun muncul sebagai sumber pelaburan asing terbesar dengan 21.5 bilion ringgit, diikuti China, Amerika Syarikat, Singapura dan Thailand.

“Bagi negeri pula, Selangor mencatatkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi iaitu RM33.5 bilion, diikuti Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sarawak.

“Sektor perkhidmatan terus menjadi pemacu utama dengan pelaburan RM60.8 bilion, didorong subsektor maklumat dan komunikasi, khususnya permintaan kepada kecerdasan buatan, pusat data dan pengkomputeran awan.

“Sementara itu, sektor pembuatan menarik pelaburan RM24.1 bilion dan dijangka menyumbang lebih 30,000 pekerjaan baharu, terutama dalam industri elektrik dan elektronik, kimia, mesin serta peralatan,”katanya.

MIDA turut memaklumkan, prospek pelaburan negara kekal positif dengan 182 projek berpotensi bernilai RM38.3 bilion sedang difasilitasi setakat 5 Mei lepas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.