
SHAH ALAM, 19 Mei – Usaha mempercepat transformasi digital dan hijau industri menjadi tumpuan Kerajaan Negeri Selangor menerusi pelancaran inisiatif SINERGI by SHRDC, di sini, hari ini.
- Inisiatif SINERGI sejajar dengan komitmen negeri memperkukuh pembangunan modal insan dan transformasi industri.
- Matlamat memastikan Selangor kekal relevan dan berdaya saing sebagai enjin utama ekonomi negara.
- SHRDC berperanan sebagai penghubung antara kerajaan, industri, institusi akademik dan penyedia teknologi untuk ekosistem industri lebih bersepadu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu selaras komitmen kerajaan negeri memperkukuh pembangunan modal insan dan transformasi industri.
Langkah itu bagi memastikan Selangor terus kekal sebagai enjin utama ekonomi negara.
“Selangor kekal sebagai enjin utama ekonomi negara dengan menyumbang lebih 26 peratus kepada aktiviti ekonomi Malaysia selain menempatkan hampir 22 peratus penduduk negara,” katanya.
Beliau berkata landskap ekonomi global yang semakin dipacu teknologi digital menuntut pembangunan bakat dan modal insan diperkasa supaya daya saing negeri kekal relevan.
“Industri masa kini berdepan cabaran gangguan digital, tuntutan kemampanan serta persaingan global yang memerlukan kerajaan dan industri bergerak seiring dalam mempercepat transformasi digital dan hijau,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji peranan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) yang disifatkan sebagai penghubung penting antara kerajaan, pemain industri, institusi akademik dan penyedia teknologi dalam membangunkan ekosistem industri lebih bersepadu.
Pelancaran SINERGI by SHRDC disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj.