Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 4.3% tahun ini

FOTO BERNAMA


KUALA LUMPUR, 9 Januari
– Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.3 peratus pada 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • MARC mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.3% pada 2026.
  • Pertumbuhan disokong permintaan domestik berterusan dan pelaburan mampan dalam AI.
  • Inflasi sederhana dijangka sekitar 1.6% dan pendapatan dijangka stabil.
  • Prestasi eksport dijangka mendapat manfaat daripada aliran perdagangan serantau yang kukuh.
  • Geopolitik dan pertemuan pemimpin dunia akan mempengaruhi trajektori dasar perdagangan.

Menurut MARC, pertumbuhan akan disokong oleh permintaan domestik yang berterusan dan aktiviti pelaburan yang mampan didorong kitaran perbelanjaan modal global dalam bidang kecerdasan buatan (AI).

”Prospek ini disokong oleh tahap inflasi yang sederhana, yang kami unjurkan pada kadar 1.6 peratus pada 2026, di samping pertumbuhan pendapatan yang stabil.

”Daripada segi luaran, prestasi eksport Malaysia dijangka meraih manfaat daripada aliran perdagangan serantau yang lebih kukuh berikutan perkembangan perdagangan yang bertambah baik susulan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47,” menurut kenyataan itu.

Walaupun prospek keseluruhan bertambah baik, pertemuan akan datang antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping berserta dinamik geopolitik, akan membentuk trajektori dasar perdagangan.

”Bagaimanapun, perkembangan geopolitik terkini di Amerika Latin dijangka tidak menjejaskan prospek perdagangan Malaysia secara material.

”Sebagai pengimport minyak mentah bersih, Malaysia dijangka menerima manfaat daripada harga minyak yang lebih rendah yang didorong oleh peningkatan bekalan,” menurut kenyataan itu.

Secara keseluruhan, prospek ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, di sebalik pertumbuhan global yang dijangka sederhana pada 2026, ekoran kekangan struktur dan ketidakpastian geopolitik yang berterusan.