
KUALA LUMPUR, 20 Januari -Prestasi perdagangan Malaysia mencatat sejarah apabila jumlah perdagangan negara mencecah RM3.06 trilion tahun lalu, melepasi paras RM3 trilion buat pertama kali.
- Pencapaian eksport melebihi RM1 trilion untuk tahun kelima berturut-turut, disokong pertumbuhan E&E, jentera dan perkilangan.
- Lebihan dagangan kekal selama 28 tahun berturut-turut, mencerminkan daya tahan dan daya saing perdagangan Malaysia.
- FTA seperti CPTPP dan RCEP bantu pelbagaikan pasaran, meningkatkan eksport ke Hong Kong, Mexico dan Kanada.
Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), pencapaian itu meningkat 6.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ia sekali gus mencerminkan daya tahan dan daya saing Malaysia dalam persekitaran perdagangan global yang mencabar.
”Eksport melepasi RM1 trilion bagi tahun kelima berturut-turut, tumbuh 6.5 peratus kepada nilai tertinggi setakat ini sebanyak RM1.607 trilion, manakala import naik 6.2 peratus kepada RM1.455 trilion.
Prestasi yang memberangsangkan ini menghasilkan lebihan dagangan berjumlah RM151.80 bilion, menjadikannya lebihan dagangan ke-28 tahun berturut-turut sejak 1998,” menurut kenyataan itu.
Pertumbuhan eksport yang kukuh disokong rekod eksport tertinggi ke rakan dagang tradisional, iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU).
Ia membuktikan penglibatan kukuh Malaysia dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi dan berintensifkan teknologi.
Bagaimanapun, MITI memaklumkan eksport ke China berkembang pada kadar lebih sederhana.
Rangkaian Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia yang komprehensif, termasuk rangka kerja serantau utama seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), terus memainkan peranan penting.
”Selain berperanan memudahkan akses pasaran, FTA tersebut turut mempelbagaikan destinasi eksport serta mengurangkan risiko perdagangan.
”Manfaatnya dapat dilihat menerusi peningkatan eksport ke Hong Kong, Mexico dan Kanada yang merekodkan nilai tertinggi setakat ini, disokong pertumbuhan dari pelbagai kategori barangan,” katanya.
Dari segi sektoral, eksport barangan perkilangan menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan dipacu antaranya oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), jentera, kelengkapan dan peralatan.
Keluaran pertanian turut menyokong pertumbuhan, disumbangkan kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.
”Untuk 2026, prospek perdagangan dijangka berkembang pada kadar sederhana, sejajar dengan unjuran perdagangan global oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), yang mengunjurkan jumlah perdagangan barangan global meningkat sebanyak 0.5 peratus.
Prospek ini masih terdedah kepada risiko penurunan
berikutan langkah-langkah sekatan perdagangan, ketegangan geopolitik, ketidaktentuan dasar serta permintaan global yang lemah,” menurut kenyataan itu lagi.