Bursa Malaysia catat aliran keluar bersih asing RM270.2 juta

Foto hiasan / RTM

KUALA LUMPUR, 16 November – Pelabur institusi asing kembali menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia minggu lalu, sekali gus menamatkan aliran masuk bersih selama dua minggu berturut-turut dengan aliran keluar bersih sebanyak RM270.2 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelabur asing menjual bersih pada tiga daripada empat hari dagangan, tetapi menjadi pembeli bersih pada Jumaat.
  • Sektor pembinaan mencatat aliran masuk asing tertinggi, manakala teknologi merekodkan aliran keluar asing paling besar.
  • Pelabur runcit catat belian bersih minggu ke-12, manakala institusi tempatan terus jual bersih untuk minggu ketiga.

Menurut MBSB Research, pelabur asing mencatatkan jualan bersih pada tiga daripada empat hari dagangan sepanjang minggu berkenaan.

”Aliran keluar tertinggi direkodkan pada Selasa sebanyak RM184.1 juta, diikuti Khamis (RM149.6 juta) dan Rabu (RM21.5 juta).

”Bagaimanapun, pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih pada Jumaat dengan aliran masuk sebanyak RM84.9 juta,” jelas firma itu dalam Laporan Aliran Dana untuk minggu berakhir 13 November 2026.

Sektor, pembinaan mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi sebanyak RM123 juta, diikuti pengangkutan dan logistik (RM66.2 juta) serta telekomunikasi dan media (RM26.8 juta).

Sebaliknya, sektor teknologi merekodkan aliran keluar bersih tertinggi sebanyak RM241.5 juta, diikuti perladangan (RM98.3 juta) serta Produk dan perkhidmatan perindustrian (RM61.6 juta).

Sementara itu, institusi tempatan melanjutkan trend jualan bersih untuk minggu ketiga berturut-turut dengan aliran keluar sebanyak RM56 juta.

Sebaliknya, pelabur runcit meneruskan aktiviti belian bersih untuk minggu ke-12 berturut-turut, merekodkan aliran masuk sebanyak RM326.3 juta.

Dari segi purata volum dagangan harian (ADTV), semua kategori pelabur mencatatkan penyusutan, dengan pelabur runcit merosot 8.7 peratus, institusi tempatan (24.9 peratus) dan institusi asing (0.8 peratus).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.