Biodiesel B15 mula esok, perkukuh keselamatan tenaga negara

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Pelaksanaan biodiesel B15 yang bermula esok dijangka menjadi pemangkin kepada usaha mengurangkan kebergantungan terhadap diesel berasaskan petroleum, sekali gus memperkukuh aspek keselamatan tenaga negara dalam jangka panjang.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, langkah itu turut membolehkan Malaysia memanfaatkan kelebihan negara sebagai antara pengeluar utama minyak sawit dunia.

“Jika sebelum ini kita menggunakan 100 peratus diesel berasaskan petroleum, kini sebahagiannya digantikan dengan biodiesel daripada sumber tempatan.

“Ini sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan luar secara berperingkat.

“Walaupun kesannya mungkin tidak begitu besar pada peringkat awal, ia tetap penting daripada sudut strategi jangka panjang.

“Semakin banyak sumber tenaga yang dapat dihasilkan sendiri, semakin tinggi tahap daya tahan ekonomi dan keselamatan tenaga negara, khususnya ketika berdepan ketidaktentuan pasaran global serta krisis geopolitik,” katanya ketika dihubungi RTM.

Mengulas lanjut, katanya, pelaksanaan itu juga memberi sokongan tambahan kepada rantaian industri sawit, termasuk pekebun kecil, sekali gus memperkukuh ekosistem industri berkenaan di peringkat nasional.

Bermula esok, Malaysia akan menyaksikan peralihan tenaga apabila kadar adunan biodiesel dinaikkan secara berperingkat daripada B10 kepada B15 di seluruh Semenanjung.

Pelaksanaan biodiesel B15 merupakan campuran 15 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dan 85 peratus diesel petroleum, bagi menghasilkan bahan api alternatif untuk kenderaan enjin diesel.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.