fb fb fb fb fb

Zoo Johor tertua di Malaysia bakal berwajah baharu

(Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni
Md Shukor mempersembahkan cadangan kerja-kerja menaik
taraf Zoo Johor kepada baginda)

JOHOR BAHRU, 12 Februari- Zoo Johor di Jalan Gertak Merah, di sini, yang berusia hampir 95 tahun, bakal berwajah baharu dengan kerja-kerja menaik taraf dilakukan dalam masa terdekat.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah Zoo Johor  perlu menjadi antara lokasi pelancongan baharu di negeri itu sekali gus menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.

"Terletak di tengah-tengah pusat bandaraya, Zoo Johor merupakan zoo yang tertua di negara ini. Ia dibuka pada tahun 1928, oleh Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar dan dinamakan sebagai Kebun Binatang pada masa itu.

“Kerajaan negeri perlu menitikberatkan pelbagai perkara ketika kerja-kerja membaik pulih dijalankan antaranya melibatkan sistem pengaliran, penempatan haiwan, harga tiket dan pelbagai lagi dalam menarik kehadiran pengunjung.

“Ia perlu menjadi antara lokasi pelancongan baharu di Johor yang mampu menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara,” titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan Royal Press Office (RPO) di Facebook rasmi baginda hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika menerima mengadap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang mempersembahkan cadangan kerja-kerja menaik taraf Zoo Johor kepada baginda hari ini.

Sementara itu, Mohd Jafni berkata zoo tersebut dijangka beroperasi semula pada akhir tahun ini setelah kerja-kerja menaik taraf dilakukan.


(Mohd Jafni (kiri) menunjukkan cadangan kerja menaik taraf Zoo Johor kepada Sultan Ibrahim Iskandar,
hari ini/FOTO FB Sultan Ibrahim Iskandar)

“Harga tiket ketika ini adalah RM2 bagi dewasa dan RM1 kanak-kanak. Kita juga akan mengkaji semula harga tiket, namun akan memastikan kadar baharu itu tidak membebankan pengunjung serta lebih rendah berbanding zoo lain di negara ini.

"Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM1 juta setiap tahun melibatkan kos penyelenggaraan, gaji kakitangan serta makanan untuk haiwan," katanya.


Media Baharu