fb fb fb fb fb

Parti mahu kerjasama dengan PH perlu patuh tatakelola, bela rakyat - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pengumuman Calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC), hari ini/BERNAMA

KOTA KINABALU, 9 November -Mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di Sabah sama ada pada pilihan raya atau membentuk kerajaan perlu mempunyai tatakelola baik, menghapuskan rasuah dan komited membela nasib rakyat, kata Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Datuk Seri Anwar yang juga Perdana Menteri berkata beliau bersikap terbuka dan ikhlas untuk bekerjasama sekiranya pihak tersebut mempunyai niat yang jelas serta bekerja dengan ikhlas supaya matlamat untuk membangunkan Sabah tercapai.

"Sesiapa sahaja yang akan bekerjasama dengan kita (PH) mesti tunduk kepada syarat ini… guna kuasa yang ada untuk membela nasib rakyat," kata beliau berucap pada Sesi Rapat Umum dan Pengumuman Calon PKR bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Naib-Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri R. Ramanan, Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh, Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzli serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah Datuk Mustafa Sakmud.

Pada majlis berkenaan, Datuk Seri Anwar yang juga Presiden PKR memperkenalkan 10 calon yang bakal mewakili parti itu pada PRU DUN ke-17, selain mengumumkan PH bakal bertanding di 23 kerusi DUN.

Beliau berkata rakyat terutama di Sabah yang bakal berdepan dengan PRU DUN perlu menilai sebaiknya apa yang disuarakan calon dan pemimpin politik supaya rakyat tidak termakan janji palsu dan menjadi alat dalam permainan politik mereka.

"Kita boleh hangatkan suasana. Kita boleh biar orang bertepuk. Akhirnya pemimpin kaya raya, rakyat bertepuk itu miskin papa kedana. Kamu datang sorak-sorak... balik siapa peduli kamu, dia (calon) menang tinggalkan kamu," katanya.

Perdana Menteri turut memberi amaran politik perkauman banyak merosakkan negara dan menimbulkan kebencian yang tidak berfaedah.

Beliau menekankan bahawa kestabilan politik dan kerjasama antara Persekutuan dan negeri perlu diperkukuh untuk menjaga kebajikan rakyat, terutama di Sabah.

Datuk Seri Anwar turut menyeru rakyat Sabah memanfaatkan peluang pada PRU DUN kali ini untuk bekerja sebagai pasukan bagi membangunkan negeri itu.

"Ini peluang kita bekerja sebagai pasukan. Sisa umur kita, kita manfaatkan untuk kebaikan rakyat dan angkat semula imej negara sebagai negara yang baik," kata beliau.

Datuk Seri Anwar turut mengumumkan bahawa semua gabungan parti dalam PH yang bertanding pada PRU DUN Sabah ke-17 akan menggunakan lambang PH sebagai simbol perjuangan. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF