fb fb fb fb fb

PKR umum 10 calon PRU DUN Sabah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 10 calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang diumumkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dalam majlis pengumuman calon KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC), hari ini/BERNAMA

KOTA KINABALU, 9 November -Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah mengumumkan 10 calon untuk bertanding 10 kerusi Dewan Undangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah ke-17.

Pengumuman dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Senarai calon diumumkan ialah bagi DUN Inanam Peto Galim, Api-Api Thonny Lee, Petagas Awang Husaini Sahari, Sindumin Yamani Hafez Musa, Melalap Jamawi Jaafar, Tulid Datin Rufinah Pengeran, Gum-Gum Abdul Said Pimping, Karamunting George Hiew, Segama Romansa Lamin dan Merotai Ruji Ubi. 

Terdahulu, dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa pemilihan calon kali ini menumpukan kepada wakil rakyat yang berwibawa, berintegriti dan komited dalam memperjuangkan nasib rakyat Sabah.

Beliau turut menyeru jentera parti di semua peringkat agar memperkukuh kerjasama dan turun padang menyantuni rakyat, bagi memastikan mesej perjuangan parti sampai ke akar umbi.

Senarai calon yang diumumkan merangkumi gabungan muka baharu dan penyandang berpengalaman, dengan tumpuan kepada keseimbangan antara kepimpinan muda, wanita, dan tokoh masyarakat setempat.

Datuk Seri Anwar turut menzahirkan keyakinan bahawa barisan calon PKR mampu membawa perubahan dan memperkukuh suara rakyat di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran jentera pilihan raya PKR Sabah sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya DUN Sabah Ke-17 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

TETITIA YUSOFF