fb fb fb fb fb

Seorang lelaki maut, tiga cedera dalam kemalangan di Mentakab

Foto BBP Mentakab

TEMERLOH, 9 November - Seorang lelaki maut, tiga cedera manakala dua lagi selamat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Bakti, Mentakab, Pahang.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.38 petang tadi.

Sejurus menerima panggilan seramai enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama jentera segera ke lokasi.

Ketika tiba di lokasi, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan kenderaan jenis Perodua Myvi dan BMW.

Ujarnya, mangsa di bahagian belakang kereta jenis Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara dua lagi wanita yang berada dalam kenderaan itu dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki kereta jenis BMW mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, seorang lelaki dan seorang wanita dalam kereta jenis BMW selamat.

Mangsa maut, diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan menggunakan ambulans.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN