KOTA KINABALU, 9 November -Barisan Nasional (BN) Sabah hari ini mengumumkan akan bertanding di 47 kawasan Dewan Undangan Negeri pada PRU DUN Sabah ke-17.
Hanya 41 kerusi diumum, manakala enam lagi akan diumum kemudian.
Pengumuman berkenaan dibuat oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, di Bangunan UMNO Sabah, di sini.
Datuk Seri Bung Moktar berkata, pemilihan calon yang mewakili BN dibuat dengan mengambil kira faktor kebolehan, rekod perkhidmatan serta penerimaan rakyat di peringkat akar umbi.
Tambahnya lagi senarai calon kali ini menampilkan ramai muka baharu, serta 30 peratus terdiri daripada golongan muda, sebagai usaha menyuntik tenaga baharu dalam kepimpinan BN Sabah.
Terdahulu dalam majlis berasingan, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Sabah.
Dalam ucapannya, Datuk Seri Zahid menyeru semua jentera BN agar bersatu, berdisiplin dan turun padang mendekati rakyat dengan mesej kestabilan serta pembangunan yang menjadi tunjang perjuangan Barisan Nasional.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.