fb fb fb fb fb

DOSM berhasrat buka lebih banyak pejabat operasi

BATU PAHAT, 12 Februari- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berhasrat untuk membuka pejabat operasi di 156 daerah di negara ini.

Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata setakat ini, pihaknya telah membuka 30 pejabat operasi.

Jelasnya, pembukaan itu penting bagi memperkasa usaha mengumpul statistik di peringkat daerah, seterusnya membantu penggubalan dasar dan memantau program nasional.

DOSM juga bercadang, melantik Ketua Pegawai Data di setiap daerah terdiri daripada pegawai berkemahiran dalam bidang statistik.

Ini bagi membolehkan perancangan daerah dijalankan secara baik, menerusi data yang diperolehi.

"Kalau dulu mungkin kita melihat dari segi perancangan fizikal, kita ada jurutera daerah dan sebagainya, tapi sekarang saya jangka, meletakkan pegawai yang berkepakaran dalam bidang statistik, yang boleh memberi, mengumpul data diperlukan, untuk perancangan daerah untuk membolehkan tindakan, keputusan, pemantauan dan keberkesanan dalam penggunaan dana awam," katanya.

(Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin)

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat Operasi Daerah Batu Pahat, di Bangunan Persekutuan Batu Pahat.

Bagi membantu usaha pengumpulan data, DOSM turut mencadang penubuhan Majlis Statistik dan Data Daerah, dikendali Pegawai Daerah dan Pengarah DOSM Negeri.

Media Baharu