fb fb fb fb fb

JBPM Perak tubuh PBS pertama orang asli

(FOTO BERNAMA)

GOPENG, 12 Februari- Penubuhan Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) pertama di Kampung Orang Asli Ulu Geruntum, di sini merupakan langkah tepat supaya tindakan pantas keselamatan dapat diambil sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching berkata inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak itu merupakan satu keperluan memandangkan kedudukan kawasan yang jauh daripada balai bomba dan terdedah dengan risiko bencana.

Pasukan yang dianggotai oleh masyarakat setempat itu, akan diberikan latihan berkala dan dibekalkan dengan kelengkapan asas oleh JBPM.

"Pasukan PBS ini, saya nampak pasukan bomba dapat "empower" masyarakat tempatan yang kini ada kekuatan anggota 30 orang supaya mereka dapat memainkan peranan penting sekiranya di kawasan ini berlaku sebarang kebakaran, bencana dan kemalangan.

"Mereka turut dapat memainkan peranan untuk masa yang singkat, dapat lakukan apa yang patut," katanya sempena penubuhan PBS berkenaan, di sini hari ini.

(Sandrea Ng Shy Ching (dua, kiri) menyerahkan kelengkapan kebombaan
kepada Pengerusi PBS Ulu Geruntum Lizune Bah Chong (tiga, kanan).
Turut sama Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman (tiga, kiri)/BERNAMA)

Sementara itu, Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata langkah itu merupakan strategi untuk memperkasa pasukan sukarelawan di negeri ini melibatkan orang asli yang
mahir dan arif dengan kawasan hutan.

"Kawasan yang melibatkan hutan dan sebagainya ini menjadi tumpuan orang ramai sebenarnya. Contoh dia orang nak pergi "trekking" dan sebagainya yang melibatkan kehilangan.

"Sekiranya ada pasukan bomba sukarelawan terdekat seperti pasukan ini, secara tidak langsung akan membantu kita untuk mencari "search & rescue" sebab apa, orang asal atau orang asli ini sememangnya berkemahiran terutama dalam aspek di hutan," tambahnya.

Tambah Azmi, penubuhan pasukan sukarelawan ini akan diperluaskan di kawasan orang asli yang lain di Perak mengambil kira faktor geografi dan keperluan keselamatan.

Media Baharu