(Foto Fb Onn Hafiz Ghazi)
JOHOR BAHRU, 12 Februari- Johor berpotensi mencapai nilai pelaburan sehingga RM15 bilion hasil pertemuan dengan syarikat pusat data skala besar terbesar di Asia Pasifik dan Jepun, iaitu AirTrunk dan Wilhelmsen.
Pertemuan dengan syarikat yang berpangkalan di Singapura itu diadakan semasa lawatan rasmi kerajaan Johor ke republik berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi facebook memberitahu, pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan beberapa lagi pelabur berpotensi dari negara lain.
Hasil pelaburan, ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dapat diwujudkan untuk Bangsa Johor, selain limpahan ekonomi dan pembangunan yang mampu membawa kemakmuran kepada rakyat negeri itu.
Potensi pelaburan itu juga menunjukkan Johor terus kekal sebagai destinasi pilihan utama pemain-pemain industri bertaraf global.
(Pertemuan dengan syarikat yang berpangkalan di Singapura itu diadakan
semasa lawatan rasmi kerajaan Johor ke republik berkenaan/Fb Onn Hafiz Ghazi)
Kerajaan negeri dengan bantuan Kerajaan Persekutuan komited untuk menjadi pemudahcara menyediakan utiliti dan infrastruktur, sehingga kepada insentif cukai bagi menghasilkan suasana perniagaan yang lebih mesra pelabur dari serata dunia.
Lawatan rasmi selama tiga hari bermula hari ini bagi meningkatkan hubungan baik antara Singapura dengan Johor.