fb fb fb fb fb

Zon bebas kenderaan di Melaka, melestari persekitaran lebih bersih, sihat

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi (dua, kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pada Majlis Anugerah Hijau Melaka 2024 di sini malam tadi.

MELAKA, 28 September- Kejayaan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan selama 54 jam di Melaka mampu menarik minat negeri lain untuk mencontohi usaha itu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, alternatif itu dilihat bukan saja dapat mengatasi kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan khususnya di dalam bandar utama, tetapi sebagai satu komitmen terhadap kelestarian dan kesejahteraan rakyat serta persekitaran yang lebih bersih dan sihat.

“Inisiatif yang dilaksanakan di Banda Hilir itu merupakan satu inisiatif yang sangat memandang ke hadapan dan banyak tempat telah melihat kaedah ini sebagai alternatif kepada pembangunan yang terlalu berorientasikan kenderaan bermotor.

“Jadi, ia bukan saja dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan pelancongan utama, malah dapat mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG),” katanya kepada pemberita selepas hadir di Majlis Anugerah Hijau Melaka 2024 di sini malam tadi.

Nik Azmi berkata beberapa negeri turut berminat untuk melaksanakan Zon Bebas Kenderaan dan ada bandar yang telah melakukannya seperti di Pulau Pinang, Petaling Jaya dan Shah Alam di Selangor, selain Kuala Lumpur sendiri dalam tempoh singkat berbanding di Melaka iaitu selama 54 jam.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, pihaknya akan mengkaji dengan lebih dekat berkenaan cadangan kerajaan negeri Melaka untuk mewujudkan Muzium Alam Sekitar pertama di Malaysia.

Katanya, ia sebagai lokasi tumpuan pendidikan dan kesedaran yang menyeluruh mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar khususnya berkaitan amalan kitar semula, namun ia perlu dilihat dari pelbagai aspek termasuk bajet pembangunan bagi melaksanakannya.

“Kita akan meneliti cadangan daripada kerajaan Melaka ini sebagaimana Muzium Alam Sekitar di Jepun diwujudkan, memandangkan negeri ini jika dibuat muzium, ia boleh mendatangkan keuntungan kerana industri pelancongannya agak meriah dan semuanya bergantung kepada kelulusan bajet dalam kebolehlaksanaannya,” katanya.

ZEHRA BINTI ZAMBRI