fb fb fb fb fb

Zizie Izette layak terima wang pengenalan RM2.8 juta

FOTO BERNAMA


KUALA LUMPUR, 27 Januari - Mahkamah Sesyen diberitahu isteri Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta.

Ini memandangkan pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar berkata, bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie Izette itu merupakan strategi pemasaran pihaknya apabila wanita itu turut memperkenalkan seorang pegawai kanan Felcra untuk membuat pelaburan sama.

"Saya menghubungi Datin Seri mengatakan pelaburan dibuat Felcra (RM150 juta) telah berjaya dan pada masa sama, saya mendapat komisen daripada pelaburan tersebut. Saya kemudian beritahu kepada Datin Seri yang saya ingin memberikannya wang pengenalan itu," kata Norhaili di sini.

"Saya pakar (pelaburan) dalam menceritakan kepada rakyat Malaysia tentang kehebatan unit amanah tetapi saya tidak boleh masuk ke dalam syarikat-syarikat besar yang tidak tahu tentang apa saya buat," katanya lagi.

Norhaili saksi pendakwaan ke-25 berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette dihadapan Hakim Rozina Ayob.

Menyentuh mengenai komisen yang diperoleh selepas berjaya mendapatkan pelaburan itu, Norhaili berkata beliau dan Madhi Abdul Hamid yang merupakan ejen Public Mutual masing-masing memperoleh komisen RM2.9 juta.

"Apabila mendapat komisen itu, saya dan Madhi berbincang tentang pengurusan komisen itu dengan mengambil kira faktor seperti pengurusan pelaburan Felcra dan kos operasi jangka panjang kerana pelaburan ini mengambil tempoh lebih tujuh tahun untuk matang dan kami juga ambil kira kos cukai untuk diuruskan dalam tempoh berkenaan," katanya.

Semasa disoal Law mengapa Zizie Izette perlu dibayar RM2.8 juta, saksi itu berkata Zizie Izette layak menerima wang pengenalan itu setelah mengambil kira segala perbelanjaan kos, cukai dan faedah bulanan selagi pelaburan Felcra dibawah jagaannya.

"Kalau saya, saya tidak nampak jumlah itu besar tetapi saya melihat penjagaan akaun Felcra untuk jangka panjang. Ia (wang pengenalan) layak untuk Datin Seri Zizie Izette,"

"Seingat saya pembayaran wang pendahuluan RM2.2 juta itu dalam bentuk tunai di Public Bank Melawati telah diuruskan oleh Madhi, selebihnya RM800,000 dimasukkan semula ke dalam Public Mutual Berhad atas nama Datin Seri Zizie Izette," kata Norhaili lagi. - BERNAMA

 

Media Baharu