KUALA LUMPUR, 27 Januari - Seorang warga emas berbangsa Cina yang ditemui tinggal bersendirian di kawasan hutan berhampiran Salak Selatan sebelum ini, antara individu penerima sumbangan 'Bakul Keluarga Malaysia Rumah Prihatin'.
Sumbangan berupa kotak bantuan makanan kering, tilam, kain tuala, selimut, limau mandarin, angpow dan lain-lain keperluan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, pada 1 Februari ini.
Sumbangan tersebut disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengasas Rumah Prihatin Tan Sri Annuar Musa, di kediaman Leong Choong Keong 66, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan.
Menurut Annuar, Leong Choong Keong atau lebih mesra disapa sebagai Uncle Leong merupakan seorang warga emas yang ditemui dalam situasi menyedihkan di sebuah pondok usang oleh aktivis sosial Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang tahun lalu.
Beliau kemudian dibantu Annuar yang pada ketika itu menjawat portfolio Menteri Wilayah, untuk mendiami sebuah rumah di PPR Salak Selatan sehingga kini.
Pada sesi lawatan dan penyampaian sumbangan kali ini, pihak Rumah Prihatin dimaklumkan mengenai beberapa bayaran tertunggak termasuk cagaran sewa rumah, cagaran bil air, dokumen perjanjian dan patil serta lain-lain tunggakan berjumlah lebih RM1,200.
Difahamkan, semua cagaran dan tunggakan berkenaan akan dilangsaikan oleh Annuar.