SEREMBAN, 28 Januari - Seramai 743 pelajar sekolah dan institusi pendidikan di Negeri Sembilan disahkan positif COVID-19 membabitkan 11 kluster pendidikan.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, kluster pendidikan melibatkan lapan institusi pendidikan yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.
Manakala, tiga membabitkan institusi swasta dengan sebahagian besar daripadanya adalah pelajar di asrama.
"Pemantauan akan terus dilakukan dengan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha mengekang penularan COVID-19 di institusi pendidikan.
"Saya menyarankan agar ibu bapa memberi kerjasama sebab anak-anak kita akan menghadapi peperiksaan SPM, ini penting menentukan masa depan mereka", katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan pasca Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas COVID-19 di sini.
Tegasnya, pelajar yang dikategorikan sebagai kontak rapat dan diarah untuk menjalani tempoh kuarantin di sekolah, tidak dibenarkan untuk pulang ke rumah sehingga tamat tempoh kuarantin meskipun ketika cuti musim perayaan Tahun Baharu Cina.