fb fb fb fb fb

MEDAC peruntuk RM1.6 juta bantu usahawan asnaf

KUALA LUMPUR, 28 Januari - Tabung Jawatankuasa Dana Khas Zakat, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) memperuntukkan dana berjumlah RM1.6 juta untuk diagihkan kepada golongan usahawan asnaf yang terkesan akibat COVID-19 dan banjir di seluruh negara.

Mengangkat tema 'Daripada penerima zakat, menjadi pembayar zakat', ia antara lain bermatlamat membawa golongan itu keluar daripada kelompok asnaf.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata bantuan yang merupakan hasil kutipan daripada pelbagai agensi di bawah MEDAC itu, disalurkan khusus untuk meringankan beban kewangan usahawan terlibat, disamping membantu mereka membina semula perniagaan yang terjejas.

Seramai 314 usahawan asnaf yang terkesan akibat COVID-19 di seluruh negara telah dikenal pasti, hasil kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) setakat ini.

Beliau menjelaskan, pihaknya akan mempergiat kerjasama dengan pusat pemberian zakat di setiap negeri bagi memastikan bantuan berkenaan dapat disalurkan kepada semua penerima yang layak.

"Kita bekerjasama dengan pusat zakat. Di Wilayah Persekutuan dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan pusat zakat negeri-negeri lain. Memang ada perjanjian persefahaman (MoU) seperti Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) dan juga SME Corp.

"Kita juga ada agensi, ada buat MoU dengan majlis-majlis agama. Hanya mereka yang mendapat sijil ataupun tersenarai sebagai golongan asnaf sahaja yang layak untuk menerima", katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), di Menara Berkembar Bank Rakyat, di sini.

Untuk fasa pertama, 25 asnaf dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diberi bantuan sekali beri sebanyak RM2,000 setiap orang.

Bagi fasa seterusnya, peruntukan Tabung Jawatankuasa Dana Khas Zakat MEDAC akan disalurkan kepada usahawan asnaf yang terjejas banjir.

"Kita sedang mendapatkan nama kerana kita ada lagi peruntukan untuk bantu mereka pada fasa seterusnya. Fasa pertama ini ialah untuk mereka yang terkesan dengan COVID-19. Fasa kedua adalah untuk mereka yang terkesan banjir", katanya.

Media Baharu