fb fb fb fb fb

Tahun Baharu Cina : 100 penerima faedah PERKESO diraikan

KUALA LUMPUR, 28 Januari - Kementerian Sumber Manusia menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) meraikan 100 penerima faedah PERKESO menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut pada 1 Februari ini.

Ketua Eksekutifnya Datuk Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed optimis sumbangan berkenaan dapat memberi sinar kegembiraan dan memeriahkan lagi suasana sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.

"Penganjuran majlis seperti ini memberi ruang kepada PERKESO untuk menyumbang semula kepada masyarakat dan membantu meringankan beban golongan sasaran terutamanya menjelang perayaan.

"Inisiatif tanggungjawab sosial ini perlu diteruskan untuk memupuk semangat saling membantu, sekali gus mengeratkan hubungan antara PERKESO dan masyarakat", katanya dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina PERKESO 2022 di ibu negara.

Ia diadakan sebagai inisiatif agensi ini untuk menyantuni penerima faedahnya di samping dapat memperkukuh hubungan antara PERKESO dan pemegang taruhnya.

Program tanggungjawab sosial korporat berkenaan melibatkan penerima faedah PERKESO dalam kalangan ibu tunggal dan anak yatim dari sekitar ibu negara.

Pelaksanaan inisiatif murni ini juga menzahirkan keprihatinan PERKESO terhadap rakyat Malaysia, khususnya buat mereka yang memerlukan bantuan semasa musim perayaan ini.

Media Baharu