PUTRAJAYA, 10 September- Kerajaan mengecam sekeras-sekerasnya tindakan rejim Zionis yang melakukan serangan di Qatar dan misi kemanusian Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan Tunisia.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, menegaskan serangan tersebut tidak boleh diterima serta dianggap sebagai halangan terus terhadap usaha mediasi dan rundingan antarabangsa dalam menyelesaikan krisis kemanusiaan berpanjangan di Gaza.
Fahmi turut melahirkan rasa amat terkesan dengan dua insiden serangan ke atas bot Familia Mendera dan Alma, yang berlaku dalam tempoh kurang 24 jam.
"Kerajaan sekeras-kerasnya mengecam serangan terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan Tunisia pada lewat malam Isnin dan Selasa. Saya amat terkesan dengan dua insiden serangan dron yang dilakukan ke atas bot Familia Mendera dan Alma dalam tempoh kira-kira 24 jam.
Kedua-dua serangan ini menyasarkan aktivis kemanusiaan serta misi aman tersebut. Tindakan berkenaan adalah satu perbuatan bacul, tidak berperikemanusiaan, melanggar undang-undang antarabangsa serta langsung tidak menghormati nilai sejagat," kata Datuk Fahmi kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi, di sini.
Dalam pada itu, Datuk Fahmi Fadzil juga memaklumkan pihak MAPIM Malaysia dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) telah mengaktifkan Malaysia Flotilla Mission Media Coordination Centre yang beroperasi dari MAPIM Central Warehouse di Sepang.
Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi turut memberi jaminan akan menyediakan bantuan sewajarnya, khusus dalam aspek koordinasi media bagi misi kemanusiaan yang diselaraskan MAPIM.
Insya-Allah, pihak Kementerian Komunikasi akan menyediakan bantuan yang sewajarnya, khususnya berkaitan Media Coordination Centre yang dikendalikan oleh pihak MAPIM, sekiranya terdapat keperluan," tambahnya.
