KUALA LUMPUR, 1 Januari - Pelaksanaan beberapa inisiatif baharu kerajaan bermula 1 Januari menerusi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapat perhatian warga kota, dengan rata-rata menyuarakan pandangan positif terhadap langkah berkenaan.
Tinjauan RTM mendapati, pengenalan diskaun saman berperingkat oleh PDRM dan JPJ, termasuk potongan sehingga 50 peratus bagi bayaran dalam tempoh dua minggu, disambut baik oleh pengguna jalan raya.
Seorang penduduk, Mohammed Hafidz Ismail berkata, inisiatif tersebut membantu meringankan beban kewangan selain mendidik orang ramai supaya lebih bertanggungjawab.
“Pada pendapat saya, langkah ini bagus kerana ia menggalakkan pengguna jalan raya membayar saman dengan lebih cepat. Selain jimat, ia juga mendidik kita supaya lebih patuh kepada undang-undang,” katanya.
Pandangan sama dikongsi Nirmalatha Thayannithin yang berpendapat, bayaran saman sepatutnya dibuat sebaik sahaja dikeluarkan.
“Kalau sudah tahu ada saman, kita patut bayar segera. Diskaun ini bagus sebab ia mengajar orang ramai supaya tidak melengahkan bayaran dan lebih patuh kepada peraturan,” ujarnya.
Dalam tinjauan sama, tindakan DBKL mengenakan kompaun sehingga RM2,000 serta penalti khidmat masyarakat bagi kesalahan membuang sampah dan meludah di tempat awam turut menerima sokongan masyarakat.
Peniaga, Nurul Hafzan Harun berkata, penguatkuasaan tersebut secara tidak langsung meningkatkan tahap disiplin peniaga dan orang awam dalam menjaga kebersihan persekitaran.
“Kawasan depan kedai adalah tanggungjawab kita sendiri. Kalau kita jaga kebersihan, bandar pun akan nampak lebih teratur dan selesa,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Norafif Amin Ismail berpendapat Malaysia wajar mencontohi negara jiran seperti Singapura yang tegas dalam isu kebersihan awam.
Menurutnya, tanpa penguatkuasaan yang konsisten, masalah sampah sukar dibendung dan imej negara di mata pelancong akan terjejas.
Secara keseluruhan, tinjauan mendapati majoriti warga kota bersetuju bahawa pendekatan gabungan antara insentif dan penguatkuasaan tegas mampu meningkatkan tahap pematuhan undang-undang serta kesedaran sivik masyarakat.
