fb fb fb fb fb

Pendaratan cemas Super Lynx: TLDM tubuh jawatankuasa siasatan

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari / FOTO RTM

MELAKA, 1 Januari - Insiden helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang semalam (Rabu) kini berada dalam siasatan pihak berkuasa.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata pihak Tentera Laut Diraja Malaysia telah membentuk satu jawatankuasa siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk menjalankan penilaian teknikal ke atas aset helikopter berkenaan.

"Seperti laporan yang dibuat oleh Tentera Laut, satu jawatankuasa siasatan telah dibentuk untuk meneliti punca kejadian. Semua aspek akan diambil kira dan keutamaan diberikan kepada kebajikan serta keperluan anggota terlibat.

"Aset helikopter ini akan dibawa ke Lumut untuk penilaian teknikal bagi mengenal pasti punca kejadian secara menyeluruh", katanya demikian ketika ditemui selepas melawat anggota terlibat di sini.

Jelas beliau, keutamaan ketika ini adalah memastikan tahap kesihatan serta kebajikan anggota yang terlibat diberi perhatian sepenuhnya.

Empat anggota terlibat dalam kejadian tersebut, dengan seorang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, seorang lagi dirawat di Zon Kuning.

Manakala dua anggota telah dibenarkan keluar dari hospital.

Sementara itu, salah seorang anggota terlibat, Bintara Kanan TMS (AQM) Mohammad Zullfika Mohiddi mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan betis kanan, dan masih menerima rawatan di Hospital Melaka.

Seorang lagi anggota, Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Menurut Zullfika, kejadian berlaku dalam sekelip mata dan tidak dijangka memandangkan pemeriksaan serta latihan keselamatan dilakukan secara berkala sebelum penerbangan.

"Masa kejadian, saya duduk di bahagian belakang. Kejadian itu berlaku dalam sekelip mata. Selepas saya buka pintu belakang, saya orang kedua yang timbul, diikuti orang ketiga dan kemudian juruterbang.

"Yang terakhir ialah pegawai saya, Tuan Afiq, yang mengalami kecederaan paling teruk", katanya.

Zullfika berkata, insiden berkenaan merupakan kejadian ketiga yang pernah dialaminya sepanjang 13 tahun berkhidmat bersama Tentera Laut Diraja Malaysia.

Difahamkan, insiden tersebut berlaku ketika helikopter berkenaan sedang bersedia untuk melakukan demonstrasi penerbangan sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM).

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD